Atmosfera ialah lapisan gas yang menyelaputi bumi. Ia kekal dan stabil di sekelilingi bumi kerana graviti. Ia mempunyai ketebalan 100km. Walaupun ia agak nampak tebal, namun sekiranya dibandingkan dengan ketebalan bumi iaitu 6,400km, nisbahnya adalah sama seperti buah pic dan kulitnya. Atmosfera atau lebuh dikenali sebagai udara adalah campuran pelbagai jenis gas, partikal pepejal dan wap air. Udara mempunyai ketumpatan yang tinggi di paras permukaan bumi yang kita tinggal tetapi ketumpatannya menjadi semakin rendah apabila semakin bergerak tinggi ke atas atmosfera. Planet-planet lain juga mempunyai atmosfera tetapi setakat yang diketahui tiada yang mampu menampung kehidupan.
2. KANDUNGAN UDARA BERSIH
Kandungan utama udara di atmosfera ialah Nitrogen (78%), Oksigen (21%), dan lain-lain gas (1%). Oksigen adalah satu keperluan asas bagi hamper semua benda hidup. Kesemua elemen lain yang ditonjolkan di dalam graf di bawah juga memainkan peranan yang penting dalam menampung kehidupan di bumi. Selain itu, air juga merupakan satu komponen atmosfera yang penting dan ia hadir dalam bentuk wap air yang tersejat dari permukaan Bumi. Daripada wap air ini terbentuklah awan yang akhirnya mengembalikan air ke muka bumi sebagai hujan atau salji. Komponen lain dalam udara ialah partikel pepejal yang halus. Partikel-partikel ini dikenali sebagai ‘aerosol’ dan ia bertindak sebagai condenser membolehkan wap air terpeluap di sekelilingnya dan membolehkan pembentukan awan. Setiap kali bahan pencemar dilepaskan ke armosfera, bererti kita mengganggu kestabilan semulajadi planet kita.
3. BUNYI DAN GETARAN
Bunyi adalah sebahagian daripada alam dan bergerak dalam udara. Bunyi bising adalah pencemaran kerana ia adalah satu bentuk kacau ganggu kepada semua benda hidup. Semua struktur yang bergetar menghasilkan bunyi. Julat mendengar bagi seorang manusia normal dan sihat adalah masing-masing 20 Hz sehingga 20,000 Hz dan 0 dB sehingga 130 dB. Paras bunyi yang melebihi 130 dB akan menyebabkan deria pendengaran manusia mula berasa sakit. Paras getaran bangunan kurang 3 mm/s adalah selamat , manakala paras getaran melebihi 30 mm/s akan menyebabkan kerosakan infrastruktur yang sangat teruk dan besar.
4. STRUKTUR LAPISAN ATMOSFERA
Jika anda mendongak ke langit pada hari yang cerah selalunya anda akan melihat langit yang biru dengan kepulan putih awan terapung-apung dan bergerak perlahan-lahan. Apa yang anda tidak boleh lihat ialah struktur menegak atmosfera yang terdiri daripada 4 lapisan yang dipanggil troposfera, stratosfera, mesosfera dan termosfera. Suhu udara akan meningkat atau menurun di setiap lapisan dan sifatnya berubah di setiap lapisan. Troposfera mempunyai ketebalan dari 9 hingga 16 kilometer dan kebanyakan aktiviti cuaca seperti pembentukan awan dan rebut berlaku di zon ini. Suhu menurun mengikut ketinggian di lapisan ini.
5. PERNAFASAN & OKSIGEN
Dengan setiap nafas yang kita sedut, sel-sel badan diberi tenaga untuk bergerak, membina dan mengganda bagi memastikan kita terus hidup. Udara memasuki paru- paru melalui hidung dan mulut. Di dalam paru-paru ianya diserap ke dalam aliran darah dan kemuidan dibawa ke seluruh badan. Karbon dioksida kemudiannya dipulangkan ke paru-paru dan dikeluarkan daripada badan kita apabila nafas dihembus. Tanpa tumbuhan yang menghasilkan oksigen, manusia dan haiwan tidak boleh terus hidup. Oleh kerana itu kita harus memastikan tumbuh-tumbuhan dipelihara dengan baik.
6. FOTOSINTESIS & OKSIGEN
Fotosintesis yang berlaku dalam tumbuh-tumbuhan berdaun hijau dengan bantuan klorofil adalah satu keajaiban. Ia bermula apabila tumbuhan dan rumpai menyerap cahaya matahari dan menukarnya kepada tenaga kimia. Karbon dioksida dari atmosfera dan air kemudiannya ditukarkan kepada gula manakala oksigen pula dihasilkan sebagai bahan buangan. Tumbuh-tumbuhan memerlukan gula untuk membesar dan akhirnya menjadi makanan untuk manusia dan haiwan.
7. KESAN RUMAH HIJAU SEMULAJADI
Dengan “kesan rumah hijau semulajadi”, suhu udara di permukaan bumi dikekalkan pada purata +150C. Tanpa kesan ini, kesejukan ketara pada tahap -180C akan menjadi satu kebiasaan dan kepelbagaian hidupan di biosfera tidak mungkin boleh berkembang. Gelombang pendek pancaran matahari menembusi bumi dengan kuasa yang hebat. Atmosfera, kepulan awan permukaan bumi memantulkan satu pertiga daripada tenaga radiasi ini. Selebihnya menembusi atmosfera lalu memanaskan bumi. Bumi kemudiannya memancarkan kembali tenaga in sebagai radiasi infra merah. Gas surih ataupun gas rumah hijau yang terdapat di atmosfera, terutamanya wap air, karbon dioksida dan metana menyerap gelombang panjang ini dan memancarkannya kembali ke angkasa lepas dan juga kembali ke muka bumi. Dengan ini ia bertindak seperti seperti kepingan kaca pada sebuah rumah hijau, dan permukaan bumi akan menjadi lebih panas. Kesan daripada aktiviti industri di peringkat global mengakibatkan bertambahnya kandungan gas rumah hijau di atmosfera dalam dekad yang lepas. Akibatnya ialah “kesan rumah hijau tambahan” yang mungkin akan mengubah iklim bumi.
8. PERISAI MATAHARI
Matahari memancarkan tenaga dalam bentuk haba (radiasi infra merah), dan cahaya yang boleh dilihat atau radiasi ultra ungu (UV). UV terpancar dengan gelombang yang pendek dan bertenaga tinggi dan diklasifikasikan sebagai UVC, UVB dan UVA. UVC sangat merbahaya dan mampu membunuh semua kehidupan termasuk bacteria dan lain-lain mikro organisma. UVA boleh menggelapkan kulit manakala UVB bertanggungjawab membakar kulit dan boleh menyebabkan penyakit kanser kulit. Kita bernasib baik kerana UVC diserap sepenuhnya oleh oksigen yang berada di atas lapisan stratosfera. Kebanyakan UVB diserap oleh ozon yang berada di stratosfera selagi mana ianya cukup tebal untuk fungsi tersebut. Hanya Pancaran UVA boleh menembusi atmosfera dengan mudah dan tanpa disekat.
Punca-Punca Pencemaran Udara:
1. PENDAHULUAN
Bumi secara semulajadinya menerima beban pencemaran udara daripada fenomena alam semulajadi seperti letupan gunung berapi, pembakaran hutan akibat dari panahan petir dan sebagainya. Walaubagaimanapun, Bumi mempunyai 'kaedah semulajadi' bagi menangani pencemaran semulajadi ini. Apabila manusia mula menjalankan aktiviti perindustrian mahupun aktiviti harian, pencemaran alam sekitar semakin berleluasa dan Bumi tidak mampu lagi 'memikul' beban pencemaran tersebut.
\
2. AKTIVITI PERINDUSTRIAN & PEMBANGUNAN
Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia.
Selain pelepasan bahan toksik ke udara, pembangunan premis atau zon industri tanpa perancangan teliti dan kawalan akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan getaran. Aktiviti di tapak pembinaan dan bunyi kipas ekzos di kilang-kilang adalah antara contoh-contoh aktiviti yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi.
3. KENDERAAN MOTOR
Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil, yang menghasilkan asap dan bunyi bising yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu. Angka ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan meningkatnya pendapatan, pemindahan luar bandar ke bandar dan kekurangan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.
4. PENJANAAN KUASA
Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.
5. AKTIVITI HARIAN
Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.
6. PEMBAKARAN TERBUKA
Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubunyi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya
Langkah-langkah Kawalan oleh JAS
JAS menguatkuasakan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Bahagian IV Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984 ;
Bagi memastikan prestasi pematuhan industri, JAS sentiasa mengadakan lawatan penguatkuasaan ke kilang-kilang/punca tetap.
Melaksanakan operasi asap hitam terhadap pengguna-pengguna kenderaan di jalanraya
JAS dari masa ke semasa mengadakan rondaan darat dan udara untuk menyiasat / mengesan aktiviti pecemaran udara
Pengawasan kualiti udara secara berterusan (24jam) bagi mengesan sebarang perubahan kepada kandungan kimia udara ambien yang boleh membahayakan kesihatan manusia.
JAS menganjurkan beberapa siri program kempen kesedaran berkaitan lapisan ozon kepada orang awam dan sektor industri ;
Menjalankan kajian kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi mengawal pencemaran udara ;
Terlibat dalam mesyuarat / protokol / komitmen dalam penjagaan alam sekitar di peringkat antarabangsa.
0 comments: