Post info


Comments 1


Author: Geografi STPM .............



Pencemaran Sungai

Definasi Sungai
"Pencemaran" ertinya apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, biologi atau radioaktif pada mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan bahan buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang merbahaya atau mungkin merbahaya kepada kesihatan, keselamatan, kebajikan awam atau kepada binatang, burung, hidup-hidupan liar, ikan serta hidup-hidupan dalam air, atau kepada tumbuh-tumbuhan dan menyebabkan suatu perlanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974

Pencemar ertinya sesuatu benda samada cecair, pepejal atau gas yang secara langsung atau secara tidak langsung:-
·         Mengubah kualiti sesuatu segmen atau unsur alam sekeliling yang menerimanya hingga menjejas sesuatu kegunaan berfaedah.
·         Merbahaya atau mungkin merbahaya kepada kesihatan
·         Air dikatakan tercemar apabila ia tidak sesuai untuk hidupan akuatik dan kegunaan manusia. Ini disebabkan bahan buangan yang dibuang ke dalam air.

Jenis Pencemaran Air
Sungai merupakan nadi kepada kehidupan. Sejarah awal tamadun manusia bermula di sepanjang lembangan sungai. Menyedari interaksi yang penting antara sungai dan hidupan manusia ini, seharusnya penilaian perlu dibuat agar sumber alam ini diuruskan sebaik mungkin dan memberi manfaat yang berguna untuk seluruh hidupan. Pencemaran sungai sedikit sebanyak akan menjejaskan dan mengganggu aktiviti kehidupan manusia untuk mendapatkan bekalan air minuman dan juga untuk kegunaan domestik yang lain.Suatu sumber asli dikatakan mengalami pencemaran apabila berlakunya perubahan kepada kualitinya. Pencemaran air adalah disebabkan oleh gabungan pelbagai jenis komponen alam sekitar seperti organisma, bahan organik, bahan bukan organik dan lain-lain. Kebiasaannya pencemaran sungai adalah dihasilkan daripada aktivi-aktiviti manusia yang menjadi punca kepada pencemaran air yang berlaku seperti berikut:


  • Agen pembawa penyakit (patogen) Organisma seperti bakteria, virus, protozoa dan parasit merupakan contoh agen penyakit yang memasuki air melalui air kumbahan domestik dan juga bahan cernaan manusia dan haiwan.


  • Pengurangan oksigen terlarut (Dissolved Oxygen atau DO) Pembuangan sisa organik yang dihasilkan oleh bakteria aerobik akan menyebabkan penggunaan oksigen yang terlarut oleh bakteria ini di dalam air untuk membiorosotkan bahan buangannya. Sekiranya populasi bakteria ini terlalu banyak akan menyebabkan oksigen terlarut ini akan berkurangan dan akhirnya memusnahkan hidupan akuatik.
  • Bahan terampai dan kelodak Kehadiran partikel-partikel terampai ini akan mengurangkan tahap kebolehan sesetengah organisma untuk mendapatkan makanannya, mengurangkan proses fotosintesis bagi tumbuhan akuatik, mengganggu rantaian makanan hidupan akuatik dan juga membawa pepejal lain yang merbahaya.
  • Pelarut bahan kimia tak organic. Kehadiran bahan kimia seperti garam, bahan berasid, logam berat dan bahan toksik logam seperti plumbum dan merkuri dalam kuantiti yang banyak di dalam air akan menyebabkan air ini tidak lagi sesuai untuk diminum serta mendatangkan kesan terhadap kesihatan.Logam berat bersifat karsinogenik.
  • Bahan kimia organik seperti Minyak, gasolin, plastik, racun perosak dan bahan pencuci yang wujud di dalam air akan membahayakan kesihatan manusia dan hidupan lain.
  • Bahan tak organik sebagai pembekal nutrien Kandungan pelarut air seperti nitrat dan fosfat yang boleh menyebabkan kejadian 'algal bloom'akan menggalakkan pertumbuhan alga di dalam air. Namuan begitu, bilangan alga yang berlebihan apabila ia mati dan mereput akan menyebabkan oksigen terlarut di dalam air akan berkurangan. Nitrat dalam air minuman boleh juga menjejaskan keupayaan sel darah untuk membawa oksigen.
  • Bahan radioaktif. Radioisotop yang melarut di dalam air ini adalah amat berkebolehan untuk menjadi penguat biologi apabila ia melalui rantaian makanan iaitu sebagai unsur utama dalam rantaian makanan tersebut bagi meningkatkan kepekatannya. Sesetengah ion radiasi ini boleh menyebabkan kecacatan kepada kelahiran, kanser, perubahan dalam genetik dan mendatangkan kesan karsinogenik.
  • Haba. Jika terlampau banyak bendasing yang terkandung dalam air, (contohnya air dari stesen janakuasa) akan menyebabkan peningkatan suhu di dalam air. Faktor ini seterusnya menyebabkan kandungan oksigen terlarut berkurangan. Air kumbahan industri yang bersuhu tinggi juga boleh menjejaskan kandungan oksigen terlarut di dalam air.

Sejarah Pencemaran Air
Alam sekitar kita ini saling terikat antara satu sama lain. Perkara yang sama juga berlaku dengan pencemaran air. Pencemaran ini berlaku akibat daripada perbuatan manusia memusnah alam yang semakin lama semakin menjadi. Pengendalian dan penggunaan tanah yang salah akhirnya mengakibatkan tanah terhakis dan tanah ini akan memasuki ke dalam sungai dan akan mengakibatkan sungai menjadi berlumpur. Ada juga tanah yang dihanyut ke sungai dan kemudian memasuki ke dalam laut. Pembuangan sampah sarap di merata-rata juga akan terus dihanyut ke dalam sungai oleh air hujan. Fenomena tersebut dikenali sebagai air larian.
Pencemaran air ini sudah mula mengancam menusia dari dulu lagi, iaitu pada Zaman Neolitik. Kematian secara besar-besaran yang disebabkan oleh air yang tercemar telah berlaku pada Zaman Keagungan Rom. Ini merupakan kes kematian yang disebabkan oleh pencemaran air yang terawal pernah direkodkan. Orang Rom pada zaman itu telah membina sistem bekalan air yang canggih. Pada masa itu sebanyak lapan aqueduct (saliran air) telah dibina untuk menyalurkan air ke bandar itu. Sistem bekalan air ini bukan sahaja dibina di sekitar Rom malah di koloni-koloni mereka juga iaitu di Gaul, Sepanyol dan Ingggeris.
Kedua-dua aqueduct dan juga pembetung mula menghadapi kekurangan perhatian dan jagaan rapi pada kurun pertama A.D. Pada kurun ke-4, Zaman Orang Gasar, sistem pembentungan menjadi lebih teruk apabila ia tersumbat dengan lumpur dan juga sampah-sarap. Tanah pertanian yang dahulunya disaliri oleh Cloaca Maxima telah bertukar menjadi sebuah paya pembawa kuman penyakit yang kini dikenali sebagai Pontine Marshes, dan menyebabkan penyakit-penykit epidemik dan juga Malaria. Kesan-kesan ini mungkin sekali menyumbang kepada keruntuhan Tamadun Rom.
 
Dengan kejatuhan Tamadun Rom, langkah-langkah untuk mengekalkan kesihatan mulai dilupakan. Bandaraya pada Zaman Pertengahan Eropah mempunyai sistem pembetungan terbuka dengan sistem perparitan yang tidak sistematik dengan sedikit kawasan takungan dan tandas yang selalunya berdekatan dengan parit air. Pada akhir Zaman Pertengahan Eropah, keadaan yang tidak bersistematik ini telah membawa kepada "Black Death" di mana ia mungkin telah mengorbankan setengah hingga tiga perempat daripada populasi penduduk Eropah yang berlaku dari tahun 1348 hingga 1349. Keadaan ini sering kali berlaku di bandar-bandar Eropah sehingga ia pulih pada abad ke-19. Sungai digunakan sebagai pusat untuk pembuangan sampah sejak kewujudan manusia di dunia ini. Dengan ada penciptaan alat dan pembersihan sungai, sungai tidak diancam pencemaran yang lebih teruk sehingga tahun 1825.

Pada hari ini juga, sampah sarap yang tidak diproses dilonggokkan ke dalam sungai walaupun manusia tahu perbuatan ini boleh membahayakan dirinya sendiri. Pada masa itu juga, iaitu pada zaman pemerintahan Raja Richard II, Raja Inggeris dari tahun 1377 hingga 1399, baginda telah membina sebuah patung yang melarang supaya tidak mengalirkan air kumbahan ke dalam sungai yang berdekatan dengan bandar. Raja Henry VIII yang memerintah Inggeris pada awal kurun ke-16, juga menubuhkan ordinan yang berhubung dengan pencemaran air. Ramai rakyat tidak sedar bahawa air yang tercemar mungkin boleh jadi punca kepada penyakit yang menyerang pada masa itu. Di London, sebagai contoh, diserang oleh taun yang datang secara berkala. Dalam satu kejadian, ia telah meragut 50,000 nyawa manusia pada tahun 1831. Diikuti pula dengannya adalah disentri dan deman kepialu yang sering kali berlaku di kalangan masyarakat luar bandar. 

Taun yang disebabkan oleh air yang tercemar telah juga membunuh 20,000 orang di London pada tahun 1849 dan 1953. Deman Kepialu yang menyebabkan individu itu lumpuh juga menyerang Utara Boston, New York pada tahun 1843. Di Plymouth, Pa., pada tahun 1885 dan di Hamburg, Jerman pada tahun 1892. Menurut Donald E. Carr dalam bukunya iaitu Death of the Sweet Waters menyatakan bahawa air yang dicemari oleh air kumbahan merupakan punca kepada tersebarnya deman kepialu dan taun yang mewakili 20% dalam kes-kes yang dilaporkan di hospital di India dan China. Penyakit lain yang merebak secara meluas adalah hepatitis yang berpunca daripada meminum air yang tercemar ataupun memakan kerang yang hidup di kawasan yang tercemar. India pernah diserang oleh hepatitis pada tahun 1956 tetapi tidak begitu banyak tersebar di Mississippi, New York, New Jersey dan Connecticut pada tahun 1961 di mana ia berpunca daripada kerang. 

Kaitan di antara mikroorganisma, pembunuh yang terdapat di dalam air dan penyakit yang dibawanya telah membuka jalan kepada penciptaan penawar penyakit tersebut. Sebagai contoh Eberth menemui bacillus taun pada tahun 1880, Koch telah menjumpai kuman Kholera pada tahun 1883 dan Pasteur telah berjaya menjumpai penawar untuk manusia menentang penyakit anjing gila pada tahun 1885. Pada tahun yang sama juga Franklund telah memulakan rutin analisis biologi terhadap air yang disalirkan oleh syarikat air di London dan berupaya menunjukkan bahawa penurasan air melalui pasir boleh mengurangkan kandungan bakteria sehingga 98%. Daripada itulah perawatan air moden diperkenalkan.

Jenis Proses Yang Menyebabkan Pencemaran Sungai
·         Proses Asli: Proses asli yang boleh menurunkan kualiti air ialah hidrologi, geologi dan biologi. Proses hidrologi melibatkan kitaran air di hidrosfera. Pergerakan tersebut berupaya memindahkan bahan pencemar yang berada di atmosfera dan seterusnya jatuh ke permukaan tanah yang kemudiannya mengalir ke sungai. Di atmosfera terdapat pelbagai bahan pencemaran seperti gas berasid, bahan radioaktif, bakteria dan debu. Apabila hujan berlaku, bahan pencemaran tersebut akan dipindahkan dari atmosfera ke permukaan bumi dan ini akan menyebabkan pencemaran kepada badan air yang terdapat di permukaan bumi termasuk air sungai, tasik, paya, dan mungkin air bawah tanah. Jika keadaan ini berlaku, susah untuk merawat air kerana kawasan yang terlipat secara meluas dan sumbernya sukar untuk dikawal.
·         Proses Geologi: Proses geologi adalah satu proses yang berkaitan dengan batuan melalui proses luluhawa. Proses luluhawa kimia terhadap batu-batuan merupakan salah satu proses yang boleh menyumbangkan bahan pencemar yang boleh menurunkan kualiti air. Seperti yang kita tahu batu-batan banyak mengandungi unsur kimia. Apabila proses luluhawa kimia berlaku, akan terhasillah bahan larut yang akan mengubah ciri-ciri kimia air yang terlibat dan secara tidak langsung akan menurunkan kualiti air tersebut.
·         Proses Biologikal: Sumber pencemaran air yang paling serius di Malaysia ialah daripada pelbagai aktiviti manusia iaitu perlombongan, pembalakan, pembangunan, pertanian, perindustrian.

Perindustrian
Pelbagai jenis aktiviti perindustrian di Malaysia, seperti elektronik, pengetinan makanan dan minuman, pemprosesan bahan mentah, tekstil dan bermacam lagi. Semua jenis perindustrian tersebut menyebabkan pencemaran kerana bahan buangan dari kawasan perindustrian dialirkan ke badan air melalui sistem saliran yang nyata. Sumber pencemaran dari kawasan perindustrian boleh dikelaskan sebagai sumber berpunca. Buangan berbahaya ini dikawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadul) 1989. Sebanyak 107 jenis buangan industri yang dikategorikan sebagai buangan berbahaya di bawah peraturan tersebut. Bagi mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah melakukan pelupusan haram buangan terjadual iaitu di tempat yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar, denda maksimum baginya adalah sebanyak RM500,000.00 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Jenis Bahan Pencemar Perindustrian

  • Tar terpakai atau minyak antikakisan: Minyak antikakisan atau sisa tar daripada proses-proses penampalan atau penyemburan atau penyalutan di loji pemasangan kenderaan motor atau woksyop automotif.
  • Enapcemar-enapcemar daripada penapisan semula keluaran minyak terpakai termasuklah enapcemar berminyak yang mengandungi sebatian asid atau plumbum. Enapcemar asid daripada penapisan semula minyak pelincir terpakai.
  • Buangan-buangan asbestos: Debu-debu asbestos atau buangan-buangan gentian asbestos bebas dari loji pengilangan keluaran-keluaran asbestor / simen.
  • Buangan yang mengandungi pewarna: Air buangan yang mengandungi pewarna dari loji pengilangan tekstil.
  • Buangan-buangan raksa, yang mengandungi raksa logam, sebatian-sebatian raksa organik dan tak organic. Enapcemar-enapcemar yang mengandungi raksa dari pengolahan air garam dan lumpur-lumpur penulenan air garam yang mengandungi raksa dari loji pengeluaran klorin.
  • Bateri-bateri terbuang atau yang tidak mengikut spesifikasi, yang mengandungi plumbum, raksa, nikel dan litium. Bateri-bateri terbuang atau yang tidak mengikut spesifikasi dari loji pengilangan bateri.

Pertanian
Aktiviti pertanian melibatkan penggunaan baja dan racun untuk memastikan kesuburan tanaman. Namun penggunaannya mencemarkan alam sekitar jika tidak dikawal selia dengan betul. Baja dan racun boleh memasuki badan air melalui pengaliran air di permukaan tanah dan juga air bawah tanah. Kemasukan bahan pencemaran tersebut akan menurunkan kualiti air dan seterusnya mengakibatkan pencemaran air. Kemasukan bahan pencemaran dari kawasan pertanian adalah melalui sistem saliran yang tidak nyata dan boleh dikelaskan sebagai sumber yang tidak berpunca.
Aktiviti pertanian juga melibatkan ternakan seperti lembu, ayam, khinzir dan lain-lain. Binatang ternakan tersebut menghasilkan najis yang seterusnya dialirkan ke badan air. Di Malaysia masalah pencemaran air disebabkan oleh najis binatang ternakan merupakan salah satu masalah besar kepada kerajaan terutama ladang ternakan khinzir yang sangat meluas di Malaysia. Air mandi khinzir mengandungi unsur Zink dan Ammoniakal Nitrogen yang tinggi. Bahan pencemaran dari najis, bukan setakat mencemarkan sumber air tetapi juga menyebabkan pencemaran bau yang menyakitkan.
 
Perlombongan
Aktiviti perlombongan sangat penting di Malaysia. Antaranya perlombongan bijih timah, bijih besi, emas, tembaga dan lain-lain lagi. Selain daripada meningkatkan pendapatan negara, aktiviti ini memberi kesan kepada alam sekitar, misalnya sumbangan bahan terampai tersebut akan menyebabkan badan air menjadi keruh. Dalam jangka masa panjang akan berlaku proses pemendapan yang akan mencetekkan badan air dan kemudiannya akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan persekitarannya. Selain daripada bahan tersebut, aktiviti perlombongan juga menyumbang pelbagai jenis logam bergantung kepada jenis perlombongan yang dijalankan. Kehadiran logam tersebut akan memberi kesan kepada pengguna air dalam jangka masa panjang. Sumber pencemaran dari kawasan ini boleh dikelaskan sebagai sumber berpunca dan tidak berpunca bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh tuan punya projek. Had maksimum kandungan pepejal terampai di dalam efluen ialah 50 mg/1 seperti yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen-Efluen Perindustrian), 1978.

Pembangunan
Aktiviti pembangunan memberi manfaat kepada penduduk. Namun begitu ia juga merupakan salah satu sumber pencemaran yang sering dikaitkan dengan aktiviti ini ialah bahan organik dari sisa pepejal, bakteria dan virus dari sisa manusia, bahan soda dan amonia dari aktiviti pembasuhan, bahan terampai dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan aktiviti harian manusia. Sumber pencemaran ini boleh dikelaskan kepada sumber berpunca dan tidak berpunca bergantung kepada kawasan yang terlibat. Pencemaran air bawah tanah terjadi apabila hujan yang menimpa sampah menyerap ke dalam bumi. Di dalam proses penyerapan ini, air tersebut akan membawa bersama atau menyerap kebanyakan bahan kotor yang terdapat di dalam sampah. 1gelen (3.785 liter) minyak petrol boleh mencemarkan 1 juta gelen (3.785 juta liter) air bawah tanah. Kehadiran sedikit sahaja bahan eyanide di dalam air boleh membunuh kita serta-merta.


Pembalakan

Aktiviti pembalakan tidak kurang pentingnya dewasa ini sama ada dalam proses penerokaan tanah baru atau pengeluaran hasil balak. Aktiviti ini sering mengakibatkan permukaan tanah terdedah kepada hujan yang menyebabkan berlakunya hakisan. Proses ini akan memindahkan partikel tanah ke tempat lain termasuk badan air. Kemasukan badan partikel tersebut akan menyebabkan badan air menjadi keruh serta berlaku pemendapan. Selain daripada partikel tanah, aktiviti pembalakan juga menyumbang bahan pencemaran dari segi bahan organan dan nutrien ke badan air. Sumber pencemaran dari kawasan ini boleh dikelaskan sebagai sumber tidak berpunca.

1 comments:


  1. nice.i like it

Post a Comment

Powered by Blogger.