Post info


Comments 0


Author: Geografi STPM .............


Kesan rumah kaca ancam Bumi

SATU pertiga daripada perangkaan rumah kaca dunia terletak di Amerika. Kesan 'rumah hijau' ini menyumbang 67 peratus daripada pencemaran dunia. Kajian menunjukkan kesan pencemaran itu menyebabkan bumi mengalami beberapa perubahan yang membabitkan cuaca dan topografi. Antaranya dunia akan ditenggelami air antara 14 hingga 36 sentimeter bermula dari 1990 hingga 2025. Dalam tempoh yang sama suhu bumi meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius dan kadar karbon dioksida (CO2) akan meningkat kepada 650 ppm.

MAT ZAHARI ALI menulis mengenainya.
SIKAP angkuh Amerika terhadap kedaulatan perundangan dunia kian tercabar selepas secara total menggagalkan Agenda 21 sidang Bumi di Rio de Janeiro yang dipersetujui lima tahun lalu. Washington sedikitpun tidak malu di depan 173 negara dunia di sidang kemuncak mengenai alam sekitar di New York penghujung bulan lalu apabila dianggap negara terbesar penyumbang utama pencemaran dunia. Memang benarlah kata orang dulu, awasi telunjuk apabila menuding jari menghukum kesalahan orang lain kerana masih ada tiga jari lain mengarah ke arahmu. Malangnya, Bill Clinton sentiasa melihat pada ibu jarinya yang sentiasa menjurus ke atas.


Tiga tahun lalu, Malaysia dan beberapa negara pengeluar kayu tropika dunia dikecam kerana dianggap negara pemusnah alam sekitar paling produktif. Amerika antara negara paling lantang menyuarakan laungannya agar dunia memulaukan kayu mentah atau hasil dari keluaran kayu tropika. Dalam tempoh yang sama Malaysia juga dianggap antara negara penyumbang terbesar kehilangan lapisan ozon di Antartika kerana Malaysia antara pengeluar terbesar peti sejuk dunia.


Kita dipersalahkan kerana Gas Fryon yang dibekalkan dalam peti sejuk itu dianggap mengancam kestabilan iklim bumi. Sedangkan hampir semua kenderaan, rumah, pejabat, pusat beli-belah dan premis awam di seluruh dunia yang memasang alat hawa dingin menggunakan gas yang sama. Kesannya cukup ketara apabila berlaku penurunan permintaan sebanyak 12.6 peratus ke atas kayu tropika di pasaran antarabangsa. Bukan saja Malaysia malah beberapa negara Dunia Ketiga di Asia, Amerika Latin dan Afrika turut menanggung kesannya.


Dalam keadaan terpaksa, negara Dunia Ketiga terpaksa meneruskan survivalnya kerana bergantung hanya kepada sumber asli yang sedia ada. Malah sumber asli itu adalah penyumbang utama ekonomi negara. Kita agak bernasib baik kerana tidak bergantung kepada satu sumber komoditi saja.


Dalam masa yang sama Amerika dan beberapa negara Barat terutamanya negara pengeluar barangan palpa sendiri menebang berjuta-juta hektar kawasan hutan untuk menampung industri kertas selain papan untuk pelbagai tujuan. Jika mahu dibandingkan keluasan kawasan penebangan itu mungkin berpuluh kali ganda dari keluasan negara kita. Persidangan mengenai alam sekitar itu membuka mata dunia bahawa negara yang mengakui 'pemimpin orde baru dunia' itu sebenarnya menjadi pemusnah dunia. Sekurang-kurangnya jika kita mempunyai bukti yang diperakui oleh seluruh dunia bahawa Malaysia bukan seperti tanggapan yang dibuat beberapa tahun dulu.


Melihat pembangunan negara yang pesat, kita seharusnya memikirkan keselamatan generasi akan datang. Setiap tahun kita kehilangan banyak kawasan tanah tinggi dan bukit kecil terutama di kawasan bandar besar. Kadangkala kita terpujuk juga dengan bisikan yang menyatakan setiap sesuatu kebaikan tentunya memerlukan pengorbanan. Bertolak daripada sikap begini setiap individu tertanam fahaman bahawa kemusnahan itu perlu sebagai satu pengorbanan.


Inilah antara fakta yang meletakkan antara keperluan manusia dan perimbangannya. Rumah kaca di Amerika misalnya menghasilkan 12 kali ganda bahaya kepada alam sekitar berbanding kawasan pertanian terbuka. Dalam hal sebegini apakah kita rasional untuk menyatakan kita masih perlu berkorban?
Menurut kertas kerja yang dibentangkan dalam International Conference of Rising Atmosphere, C02 and Plant Produktiviti pada 1992 di Athens, Georgia, Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika mendapati kesan rumah kaca di Amerika menyumbang hampir 33 peratus pencemaran dunia. Angka ini tidak termasuk kesan pencemaran sektor industri dan domestik lain. Meskipun kita hidup di negara tropika yang mempunyai hanya dua musim iaitu musim panas dan hujan maka teknologi rumah kaca kurang diberi perhatian. Tambahan pula kita harus bersyukur kerana mempunyai kawasan tanah pertanian yang subur dan sistem saliran yang mudah kerana banyak hujan.


Rumah kaca mempunyai kebaikan tersendiri kerana menghasilkan bahan pertanian terutamanya sayuran bermutu tinggi. Pengurusannya juga mudah kerana dilengkapi sistem saliran moden dan teknologi pendebungaan yang bersepadu. Walaupun kos permulaannya menelan belanja yang agak tinggi namun pulangan modalnya mengambil tempoh yang singkat.


Ia juga tidak ubah seperti amalan pertanian di kebanyakan negara sedang membangun yang menggunakan sebidang tanah untuk pertanian pada tahun yang sama. Kesedaran masyarakat Eropah mengenai kebaikan makanan segar dan seimbang terutamanya sayuran menggalakkan peningkatan permintaan bahan makanan dari rumah kaca itu. Keadaan ini akan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah kaca. Rumah kaca umumnya akan memerangkap C02 dan menghasilkan beberapa gas berbahaya. Ini berbeza dengan amalan sistem pertanian biasa yang mendedahkan sayuran atau tanaman itu kepada cahaya matahari dan menggalakkan kitaran dan penyaringan gas-gas utama di bumi.


Pencemaran ini membabitkan kesan kepada peningkatan C02, methane, clorofluro carbon (CFC) dan gas lain yang berhubung dengan kegiatan kemanusiaan. Apa yang menggerunkan kesan daripada peningkatan gas-gas ini akan mengurangkan kepaduan oksigen dan menipiskan kesan ozon di kutub. Angka ini tidak termasuk kesan kepanasan bumi (urban heat) dari menara batu di seluruh Amerika dan pencemaran udara dari sektor industri di seluruh dunia. Kertas kerja yang dibentangkan selepas penganalisisan dibuat selama 42 tahun bermula 1952 itu ada menyatakan bahawa ada peningkatan suhu bumi antara 0.4 dan 0.5 darjah Celsius setiap lima tahun.
Setiap tahun pula, dua hingga tujuh sentimeter salji di pergunungan tinggi dan di Artik serta Antartika akan cair. Kesan pencairan itu menenggelamkan 3,100 hektar kawasan paya di New Jersey, 528 hektar di Maryland, 279 hektar di Delaware dan 112 hektar di South Carolina. Menurut laporan itu, Amerika mengalami gangguan teknologi dan kepupusan sumber marin paling tinggi di dunia akibat kehilangan kawasan pantai dan paya manakala kejadian banjir besar, angin kencang dan kemarau panjang di luar jangkaan yang sering melanda Amerika dan beberapa bahagian lain di dunia juga berpunca dari tesis yang sama.
Apa yang menggerunkan, pada penghujung abad ke-21 paras air laut akan meningkat mengikut janjang geometri antara 90 hingga 210 sentimeter. Kesan peningkatan ini akan menenggelamkan hampir 10.5 juta hektar tanah daratan dunia. Beberapa pakar alam sekitar dunia yang menghadiri persidangan itu merungut kerana pihak media khususnya media terbesar Amerika kurang berminat dengan isu itu. Kebanyakan media menganggap kesan analisis yang terlalu kecil buktinya dan kejadian yang tidak terlalu ketara mengakibatkan ia kurang menarik minat pembaca dan penonton. Tetapi yang menariknya, ada juga media yang enggan membesarkan isu itu kerana boleh menjejaskan imej negara 'pemimpin dunia' itu.
Berdasarkan kematangan media mungkin ada kebenarannya apabila usaha pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar perlu dijadikan tumpuan isu bukannya saling menuding jari. Anehnya media Barat meletakkan kesalahan itu pada negara sedang membangun. Bagi mereka sistem pemakanan tumbuhan yang menerap CO2 dan menyaring gas beracun lain serta membebaskan oksigen ketika proses fotosintesis perlu diambil perhatian. Namun mereka lupa bahawa rumah kaca dan kesan rumah hijau juga seharusnya dijadikan isu yang
praktik kerana mencegah itu lebih baik daripada berubat.

Berita Harian Online
Isnin, 28 Julai 1997


Gas Rumah Hijau

Dari segi definisi, kesan rumah kaca melibatkan mekanisma pemerangkapan sinaran suria oleh lapisan gas karbon dioksida atau gas-gas rumah kaca yang lain dalam atmosfera (Barry dan Chorley, 1971).

Kesan rumah kaca terbentuk kerana karbon dioksida yang berlebihan di ruang atmosfera menyebabkan bahang matahari tidak dapat lagi dibebaskan semula ke ruang angkasa kerana karbon dioksida memerangkap bahang tersebut. Akibatnya, bahang matahari akan terperangkap di ruang atmosfera dan menyebabkan suhu persekitaran meningkat.

Karbon dioksiada bersifat lutsinar terhadap sinaran suria. Oleh itu, gelombang pendek sinaran suria boleh menembusi gas tersebut. Tetapi karbon dioksida juga bersifat legap terhadap gelombang panjang yang terpantul semula daripada permukaan bumi atau sebarang objek di bawahnya. Dengan ini, kelegapan tersebut menyebabkan haba terperangkap dan seterusnya memanaskan suhu persekitaran. Gas-gas rumah kaca yang lain seperti klorofluorokarbon, metana, ozon, wap air dan nitrus oksida juga bergabung bersama untuk membentuk kesan rumah hijau secara global (Tickell, 1978).

Secara umumnya, peningkatan suhu yang disebabkan karbon dioksida adalah berpunca daripada proses-proses berikut:

  • Pembakaran bahan api fosil.
  • Penebangan hutan.
  • Pembaziran humus tanah.

Punca utama ketiga-tiga proses tersebut merupakan kegitan harian manusia di seluruh dunia ini. Di samping itu, gas karbon dioksida juga terhasil menerusi sumber-sumber seperti pengoksidaan bahan-bahan organik, proses penafasan haiwan dan tumbuhan dan seumpamanya.

0 comments:


Post a Comment

Powered by Blogger.