Saturday, July 31, 2010

Pulau Haba



Pulau Haba

Kemajuan zaman moden biasanya dicirikan dengan pelbagai perindustrian dan proses perbandaran. Dari segi meteorologi, bandar sebagai pusat kegiatan masyarakat moden telah berubah menjadi suatu ekosistem tersendiri yang sering kali mengalami ketidakseimbangan, terutamanya dari segi iklim (Firror, 1990).

Pulau haba merupakan analogi iklim dan geomorfi bagi sesebuah bandar yang wujud sebagai sebuah pulau yang dikelilingi laut. Pulau tersebut mempunyai kelainan dari segi iklim dan geomorfi yang melibatkan parameter-parameter suhu, hujan, kualiti udara dan seumpamanya (Sham, 1989).

Secara umumnya, terdapat sekurang-kurangnya empat jenis faktor bagi sesebuah bandar yang mewujudkan pulau haba iaitu:

  1. Bentuk atau struktur permukaan bandar yang tidak sekata iaitu pelbagai rupa bentuk bangunan. Dari segi luas permukaan berkesan, bandar adalah lebih besar daripada kawasan luar bandar yang sama saiznya. Dengan keadaan tersebut, sebuah bandar mempunyai kebolehan yang lebih tinggi untuk mengalami proses pemindahan haba secara olakan dan sinaran.

  1. Sesebuah bandar yang lebih besar dan pesat pembangunannya akan menyebabkan perubahan yang lebih banyak terhadap susun atur unsur-unsur pada bandar tersebut. Jika berbanding dengan kawasan luar bandar, bandar adalah lebih banyak terdiri daripada struktur batu-bata, konkrit, kaca dan sebagainya sementara kawasan luar bandar pula dipenuhi oleh tumbuh- tumbuhan dan rumput-rampai.

  1. Kekurangan tumbuhan-tumbahan, rumput-rampai dan sistem perparitan yang meluas di kawasan bandar telah menyebabkan kadar sejatpeluhan berkurang. Keadaan tersebut akan mengakibatkan air larian terus masuk ke dalam sistem perparitan.Maka, peratusan sinaran suria yang digunakan untuk penyejatpeluhan di kawasan bandar adalah lebih kecil daripada kawasan luar bandar. Dengan ini, lebih banyak sinaran suria akan diperoleh oleh permukaan bumi bandar.

  1. Pelbagai kemudahan dan teknologi moden telah menghasilkan haba yang berlebihan kepada kawasan bandar. Contohnya, alat penyaman udara yang mengeluarkan udara panas dalam sesuatu bangunan dan kenderaan bagi menghasilkan udara yang bersuhu rendah. Haba yang berlebihan juga terhasil daripada kebuk pembakaran aktiviti perindustrian dan kenderaan-kenderaan serta aktiviti-aktiviti pembakaran yang lain (Firror, 1990).

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, persekitaran bandar yang lebih kering dan panas akan wujud. Di samping itu, dengan adanya keupayaan keberaliran yang tinggi, sesebuah bandar akan cenderung menyerap dan menyimpan sinaran suria pada waktu siang dan haba yang tersimpan itu akan dibebaskan ke atmosfera pada waktu malam (Peavy et al, 1988).

Langkah-langkah seperti pengawalan sumber pencemar mengikut piawai yang ditetapkan haruslah dilaksanakan supaya masalah pulau haba dapat dikurangkan ke paras yang paling minimum. Usaha-usaha tersebut perlu dimulakan dari peringkat individu sehingga ke peringkat nasional agar masalah pemanasan sejagat dapat dikawal.

3 comments: